Nuffnang Top

Sunday, February 12, 2012

Menjadi Isteri Penuh Pesona






Rasulullah saw pernah bersabda kepada ibu saudara Husain bin Mihshan, “Perhatikanlah sikapmu terhadap suamimu, kerana ia adalah syurga dan nerakamu”

Kita bagaimana?

Rasulullah saw juga pernah bersabda,

“Isteri-isteri kalian yang termasuk penghuni syurga ialah yang penuh kasih sayang, banyak anak, suka kepada suaminya; jika ia marah kepada suaminya, ia akan datang kepadanya sambil meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata,’Aku tidak dapat memejamkan mataku hingga engkau redha’.” Hadith riwayat Al-Baghawi dalam As-Silsilah Ash Shahihah.

Alangkah indahnya hidup suami isteri yang rukun aman damai lagi penuh kasih sayang. Penuh kemaafan dan saling manja-memanjakan satu sama lain. Namun ramai antara isteri-isteri sejak dulu hingga kini lebih suka mementingkan diri sendiri. Tersalah bicara sikit, tersentuh hatinya sedikit, terus-terusan berlagak diva. Nak jugak suami datang memujuk. Betul ke tindakan ini selaras dengan anjuran Rasulullah saw? Kadang-kala sampai seminggu tidak bertegur sapa. Bila masuk tidur, terus paling muka ke dinding. Ada apa istimewanya dinding yang keras itu sehingga setia merenungnya sampai berminggu-minggu. Penting sangatkah perasaan kita sehingga menidakkan hak suami terhadap empunya diri?

Berapa ramaikah di antara isteri-isteri sejak dahulu dan kini memohon maaf terhadap suami sebelum masuk tidur setelah bermasam muka? Wahai isteri-isteri akhir zaman, reda dan padamkanlah api amarah dengan senyum manismu. Suburkanlah kasih-sayang yang kita cipta sendiri bersama-sama selama ini.


Alangkah bahagianya dapat merenung wajah manis suami yang bertungkus-lumus dan bekerja keras untuk mendapatkan kita suatu ketika dahulu. Sebagai seorang lelaki, mereka juga ada rasa malu yang menebal terutamanya bila tiba masa nak mengurat. Walaupun malu, digagahkan juga semata-mata untuk memiliki diri kita. Belum lagi cerita bab masa nak berjumpa ibu bapa kita dan ipar duai. Berdebar-debar sudah tentu. Mana tak berdebar, buatnya tak diterimanya dia. Tak ke malu? Malu seh! Itupun ditebalkan juga muka mengadap ibu bapa kita. Dialog? Tak payah cakaplah, mesti tak tidur malam memikirkan ayat-ayat yang nak diatur sebagai pemula bicara. “Makcik…. saya sukakan anak makcik…. kalau boleh saya nak berkahwin dengan dia.” Rasa-rasa…. Senang ke? Kalau saya sebagai perempuan ni, tak sanggup nak pikul tanggungjawab tu. Betullah lelaki ni hero segala-galanya pada perempuan! Bila lelaki dah bercakap macam tu pada ibu bapa, kita rasa sangat-sangat dihargai. Ibu bapa kita pun berbunga-bunga hati untuk menerima orang baru dalam keluarga.

Bila dah berkahwin, suami kita jadi lain macam excitednya. Rasa kita ni betul-betul di bawah jagaan dia. Kalau dulu, dia pun di bawah jagaan ibu bapa dia, sekarang dia pulak yang nak menjaga anak orang, perempuan pulak tu…. Hish! Kena jaga betul-betul ni! Jalan berpimpin, takut jatuh. Makan bersuap takut tak kenyang pulak anak dara orang ni. Tidur bertepuk takut tak lena. Bak kata orang diselimuti kita dengan penuh kasih sayang. Semuanya diuruskan dengan baik agar anak orang ni rasa bahagia. Itulah istimewanya menjadi isteri kepada seorang suami yang bertanggungjawab. Itu tanggungjawab suami.

Tanggungjawab kita sebagai isteri? Sedihnya ramai yang lupa tanggungjawab diri sendiri terhadap suami. Hanya tahu membebankan dan menyesakkan fikiran suami dengan segala macam permintaan yang tiada kesudahannya walaupun hampir tiba masa dua tiang dipacakkan ke tanah. Nauzubillah…..

Itu belum lagi bercerita tentang mulut-mulut power sang isteri. Suami yang bekerja keras setiap hari agar anak-anak dan isteri dapat makan setiap hari, dihamburkan pula dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Sudahlah seharian berpenat-lelah, di rumah pula mendengar leteran si isteri yang bermulut muncung. Belum lagi yang sentiasa melihat keburukan suami tanpa menoleh seketika melihat kasih-sayangnya pada kita.

Ramai juga para isteri di zaman ini yang menidakkan pemberian suami selama ini. Sabda Rasulullah saw kepada isteri-isteri sebegini:

“Neraka diperlihatkan kepadaku, dan aku sama sekali belum pernah melihat pemandangan pada hari ini yang lebih mengerikan dari neraka. Dan kudapati sebahagian besar penghuninya adalah para wanita, kerana mereka kufur terhadap pemberian suami mereka. Jika kamu berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama setahun penuh, kemudian ia melihat sesuatu pada diri kalian, ia akan berkata, ‘Aku tidak pernah melihat sedikit pun kebaikan darimu’.” Muttafaqun ‘alaih.

Aduh! Aduh! Isteri-isteri zaman sekarang! Insaflah! Syurga kita terletak pada redha suami. Tenangkanlah sanubarinya dengan kelembutan, kesopanan dan keprihatinan kita. Sematkanlah sentuhan penuh kasih sayang kita di jiwanya agar hidupnya tidak keruan tanpa kita. Suburkanlah roh Islam di dalam rumahtangga yang sama-sama kita cipta dalam mencari erti bahagia sementara di sini ke arah menuju sejahtera di sana yang kekal selamanya.

Saidatina Aisyah ra pernah berkata, “Wahai kaum wanita, seandainya kalian mengetahui hak-hak suami atas diri kalian, nescaya salah seorang dari kalian akan mengusap debu dari kedua kaki suaminya dengan pipinya.” HR Ibnu Majah, Shahih At-Targhib wa At- Tarhib.

Begitulah besarnya hak dan kedudukan suami dalam hidup kita seharian. Sebagai seorang isteri, kita perlu sentiasa berfikiran terbuka dan sedaya-upaya cuba mencambahkan minda serta mencari jalan untuk membahagiakan hati suami dan berkejar-kejar untuk mendapatkan keredhaanya.

Persoalannya, apakah hak-hak suami terhadap kita selaku isterinya? Jarang kita bertanya pada diri sendiri tentang keperluan suami pada diri kita. Apakah yang dia dambakan daripada kita sebagai isteri yang masih setia bersamanya? Mungkin di sini boleh saya gariskan beberapa tips atau hak seorang suami yang diperlukan daripada diri kita sebagai isteri.

PERTAMA:
TAATLAH DIRINYA DALAM PERKARA KEBAIKAN!Taat dalam kebaikan ini bermaksud kita taat dalam perkara yang suami suka dan benci. Seandainya suami kurang gemar kita bercampur gaul dengan rakan-rakan wanita di rumah, maka taatlah dan berusaha meletakkan jurang dalam pergaulan dengan memberikan pelbagai alasan. Jadi ketepikan dahulu selera dan citarasa kita semata-mata agar suami bahagia.

Begitu juga dengan soal berpakaian. Tanya dahulu pendapat suami tentang pakaian yang akan kita pakai seharian sama ada di rumah mahupun di luar. Seandainya suami tidak redha walaupun pakaian tersebut merupakan kegemaran atau kebanggaan, tolaklah ketepi. Seandainya kita telah mengenakan pakaian tersebut, kuatkanlah semangat untuk menanggalkannya demi suami.

Lakukanlah semata-mata kerananya demi syurga yang kita kejar.

KEDUA:
BERSABAR!
Tatkala marah, tenangkan suami dengan kata-kata lembut, senyum dan merendah diri. Setidak-tidaknya diamkan diri dahulu, berikan peluang dia meluahkan perasaannya. Tidak salah meminta maaf walaupun kita di pihak yang bersalah ataupun tidak. Kalau dia bersuara, bermakna ada sesuatu yang tidak menyenangkan perasaannya. Jadi, mahu tidak mahu, tentu ada salah di pihak kita. Dalam sebarang pertikaian, tidak penting soal menang dan kalah kerana kita melayari bahtera ini bersama-sama, jadi perlukah soal ego diletakkan di hadapan? Yang penting bagaimana cara kita berusaha untuk mengembalikan keamanan dalam diri masing-masing.

Cuba sedaya-upaya tidak ambil serius kata-kata yang mengguris perasaan kita. Buangkan jauh-jauh bisikan syaitan yang cuba menyemarakkan api kemarahan suami isteri. Makhluk yang dilaknat itu memang suka andai kita suami isteri berpecah-belah. Padamkanlah amarahmu dengan zikir. Tidak salah melawak dan tersenyum-senyum kambing sambil memeluk tari dengan suami. Lama-kelamaan marahnya akan reda.

Tanamkan dalam diri bahawa walaupun berselisih pendapat dan tidak sehaluan dalam sesetengah perkara, kita tidak akan membiarkan masalah itu berlarutan. Cuba bertekad bahawa seminit selepas pertikaian berlaku, kita akan menggenggam erat tangan suami dan berusaha mengembalikan denyutan jantung yang berdegup kencang tadi kepada helaan nafas satu per satu yang tenang. Akhirnya kita berdua akan merasai bahagianya bersama-sama.

KETIGA:
BIJAK KENDALIKAN KONFLIK
Tips utama adalah rahsiakan perselisihanyang berlaku. Kita yang mencipta masalah, kita jugalah yang perlu menyelesaikannya dengan bijak. Kita yang mendirikan rumahtangga ini, kita lah yang akan memastikan ianya terus kekal hingga ke syurga. Bentengkan diri dengan ilmu dan fikiran yang waras. Elakkan campurtangan ibu, mak mertua, ipar duai dan seumpamanya. Pekakkan telinga dengan pendapat yang mungkin akan memisahkan kita dengan suami. Perhatikan dalam-dalam bola mata suami, insyallah kita akan ketemu bahagia di sana. Dialah orang yang kita cintai ketika lafaz akad meniti manis dari bibirnya dahulu.

Kedua, lihat kelemahan diri sendiri dahulu sebelum tangan menundingkannya ke arah suami kita. Perlu dijngat bahawa suami adalah pemimpin, dan dia tahu peranannya sungguhpun tidak diluahkan dengan kata-katan. Pokok utama rumahtangga adalah iman kepada Rabb dengan penyerahan sepenuhnya. Walau segunung konflik yang melanda sekalipun, andai ada tawakkal yang penuh kepada Allah, nescaya hilanglah semua itu bagai angin lalu.

Ketiga, tenang, perlahan-lahan dan bijaksana ketika timbul sebarang konflik. Cuba jangan buat sebarang keputusan secara mendadak atau mengikut perasaan atau dengan kata kasarnya membabi buta. Berikan masa untuk masing-masing mengoreksi diri, buang ketepi kelemahan pasangan dan carigali serta angkat kehebatannya sebagai pasangan kita. Lama-kelamaan perasaan benci akan lenyap dan lahir sayang yang berpanjangan demi mencari keredhaan suami dan Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...