Nuffnang Top

Tuesday, October 2, 2012

Harga gula mula naik


KOTA BHARU - Bukan sekadar berdepan kesukaran mendapatkan bekalan gula, malah pengguna turut terlibat dengan kenaikan harga barangan keperluan harian itu sejak beberapa hari lalu. Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit sekitar Pengkalan Chepa, dan Kota Bharu mendapati krisis bahan makanan itu bermula selepas pembentangan Belanjawan 2013, Jumaat lalu.

Peniaga, Mohd Hamdhan Bakhtiar, 24, berkata, harga barangan keperluan harian itu naik kira- kira 20 sen berbanding sebelumnya. “Dari segi bekalan, ia tidak menjadi masalah tetapi harga yang diperoleh dari pembekal agak tinggi menyebabkan saya terpaksa menaikkan harga kepada RM2.60 sekilogram sejak Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di sini, semalam.

Seorang lagi peniaga Rahimah Rahmat, 50, berkata, dia terpaksa menghentikan jualan gula buat sementara waktu selepas gagal mendapatkan barangan kawalan itu pada harga biasa. “Saya belum bersedia menjual gula pada harga baru yang mungkin sukar diterima umum akibat kenaikan secara mendadak,” katanya. Rahimah berkata, walaupun sedar tindakannya itu menyebabkan kebanyakan pelanggan mengalami masalah mendapatkan barangan tersebut, namun dia tidak mempunyai pilihan lain.

Tinjauan di sebuah pasar raya di Kubang Kerian pula mendapati hanya rak- rak kosong memenuhi ruang bekalan gula membuktikan barangan itu kini berkurangan. Sementara itu, pengguna terpaksa berdepan kenaikan harga gula apabila subsidi terhadap barang kawalan itu dikurangkan sebanyak 20 sen sekilogram bermula Sabtu lalu. Ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, 28 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengurangan subsidi itu mendapat sokongan daripada persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kilogram yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM278 juta. Katanya, keputusan itu turut mengambil kira jumlah 2.6 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetes ketika ini.

Source

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...