Nuffnang Top

Tuesday, June 19, 2012

Bini dipukul, suami mati, penyamun tersangkut di siling

Suami disamun mati terperanjat

KUALA KANGSAR: “Tidak sangka suami meninggal dunia ketika saya pergi mendapatkan bantuan,” kata Radiah Kamarudin, 62, isteri Zulkifli Shamsuddin, 62, yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung selepas rumah mereka dimasuki penjenayah bertopeng bersenjatakan pisau, semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, Radiah berjaya melepaskan ikatan tangannya dan keluar meminta bantuan jiran, tetapi apabila dia pulang tidak lama kemudian, suaminya terbaring tidak sedarkan diri.

“Dia disahkan polis sudah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar. Keputusan bedah siasat mendapati suami saya meninggal dunia akibat penyakit jantung. “Tindakan ganas penjenayah mungkin menyebabkan dia terperanjat dan meninggal dunia,” kata Radiah.

Menurut Radiah, setiba di rumah mereka di Taman Highland, di sini, selepas selesai berniaga, dia ke dapur untuk memasak air sebelum menghidangkan minuman kepada suami yang berehat di dapur.

“Tiba-tiba sekumpulan lelaki bertopeng muncul menyerang kami. Mereka mengugut kami dengan pisau supaya tidak melawan dan meminta menyerahkan wang serta barang kemas.

“Mereka mengikat tangan suami menggunakan wayar telefon manakala tangan saya diikat dengan wayar elektrik periuk nasi,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, penjenayah turut memukul kepala dan tubuhnya berulang kali.

“Penjenayah itu berang apabila saya menanggalkan barang kemas dan mencampakkannya ke lantai,” katanya.

Selepas penjenayah itu melarikan diri, dia berjaya membuka ikatan tangannya dan berlari keluar menjerit meminta tolong jiran.

Radiah yang ditemui di rumahnya berkata, kejadian pecah rumah itu pernah berlaku tahun lalu namun ketika itu dia dan suami tiada di rumah.

Sementara itu, adik mangsa, Habibah Shamsuddin, 40-an, berkata, dia dimaklumkan kejadian menimpa abangnya jam 5 pagi semalam.

Habibah yang menetap di Lubuk Merbau, di sini, berkata, dia terkilan dengan kehilangan abangnya dan berharap hukuman sewajarnya dikenakan terhadap kumpulan penjenayah terbabit.

“Abang saya sangat rapat dengan adik-beradik dan mempunyai ramai kenalan. Saya tidak sangka dia meninggal dunia dengan cara begini,” katanya.

Updated News:

Suspek tersangkut di siling

KUALA KANGSAR: Seorang daripada empat perompak yang menyebabkan kematian ahli perniagaan, Zulkifli Shamsuddin, 62, diberkas polis selepas didapati tersangkut pada bahagian siling rumah mangsa.

Suspek yang berusia 47 tahun gagal melarikan diri bersama tiga rakannya sebelum diberkas anggota polis yang tiba di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad berkata, siasatan mendapati empat lelaki memecah masuk rumah mangsa jam 4 pagi semalam sebelum mengikat pasangan berkenaan.

Menurutnya, mangsa memanjat bumbung dan memecah masuk melalui siling sebelum mengikat pasangan suami isteri itu. “Isteri Zulkifli, Radiah Kamarudin, 62, bagaimanapun berjaya membuka ikatan dan meminta bantuan penduduk berhampiran.

“Apabila polis sampai ke rumah itu, tiga penjenayah sudah melarikan diri manakala seorang lagi suspek diberkas di atas siling rumah mangsa,” katanya.

Ghaffar berkata, Zulkifli ditemui terbaring di lantai dan didapati sudah meninggal dunia dengan kedua-dua tangannya terikat selain ada kesan cedera di bawah dagu.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat sebelum disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

“Kumpulan penjenayah melarikan barang kemas bernilai RM20,000 milik pasangan itu,” katanya.

Source

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...