Nuffnang Top

Wednesday, January 23, 2013

Anak Dilarikan Perompak Ketika Enjin Kereta Masih Hidup


KUCHING  –  Seorang budak perempuan melalui detik mencemaskan selama 30 minit apabila dia dilarikan bersama kereta milik ibunya oleh sekumpulan perompak di sebuah stesen minyak di Jalan Matang di sini semalam.

Sebelum kejadian pada pukul 6.15 pagi, Cheyanne Michcal, 8, ditinggalkan sendirian di dalam kenderaan  Toyota Wish yang enjinnya dihidupkan tetapi berkunci selepas ibunya pergi ke tandas.

Kejadian tersebut disedari oleh ibu mangsa, Christinah Madan, 42, yang terkejut apabila mendapati kenderaan itu dan anaknya tiada selepas dia keluar dari tandas beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun, Cheyanne bernasib baik apabila dia ditemui oleh seorang penjual kuih di kawasan Pasar Raya E-Mart kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sebelum mangsa dihantar ke Balai Polis Gita.

Ketika ditemui, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya itu sedang menangis meminta pertolongan orang awam.

Christinah yang juga seorang guru di SK St. John, Bau berkata, sebelum kejadian, dia meninggalkan anaknya  di dalam kenderaan kerana ketika itu mangsa tidur.

“Saya hanya mampu menjerit meminta tolong kerana telefon, komputer  serta beg tangan mengandungi wang, kad bank dan dokumen peribadi ditinggalkan di dalam kereta yang hilang bersama anak saya,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, menurut wanita itu, dia bernasib baik apabila terdapat orang awam sudi menghulurkan bantuan menghubungi suaminya sebelum dia pergi ke Balai Polis Gita untuk membuat laporan.

“Sebaik tiba di balai polis, saya terkejut melihat anak saya berada di situ,” katanya yang bersyukur kerana Cheyanne ditemui selamat selepas hilang kira-kira 30 minit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang berkata, polis percaya suspek berjaya melarikan kenderaan itu selepas mengumpil pintunya dengan  alat khas mencuri kenderaan.

Source

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...