Nuffnang Top

Wednesday, July 25, 2012

Lagi bayi didera pengasuh

Muhammad Taufik menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah manakala (gambar kecil) ibu bapa mangsa menunjukkan laporan polis yang dibuat mengenai anak mereka.


Mangsa koma akibat pendarahan otak

Alor Setar: Bayi berusia empat bulan koma akibat pendarahan dalam otak di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini. Muhammad Taufiq Daniall Amriizwan tidak sedarkan diri sejak 20 Jun lalu.

Bapa bayi malang itu, Amriizwan Ibrahim, 29, membuat laporan di Balai Polis Langgar di sini, pada 21 Jun lalu kerana mengesyaki anaknya didera ketika ditinggalkan di rumah pengasuh.

Amriizwan berkata, pada 20 Jun lalu, isterinya menerima panggilan daripada pengasuh memaklumkan anak mereka menangis.

“Tidak lama kemudian, Taufiq tidak sedarkan diri, sebelum tubuhnya menjadi kebiruan dan tidak lagi bernafas.

“Isteri saya terus membawanya ke Hospital Kulim (HK) dan pihak hospital memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia kerana kekurangan oksigen.

“Bagaimanapun, doktor sempat menyelamatkan anak saya sebelum meminta kami merujuknya ke HSB untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui di HSB di sini, semalam.

Taufiq dibedah pada hari sama jam 11 malam.

“Doktor memberitahu ada pendarahan beku dalam otak dan matanya menyebabkan anak saya koma sehingga sekarang. Malah, pihak hospital turut mengesyaki anak saya didera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata setakat ini siasatan mendapati tiada kesan cedera pada luaran badan mangsa.

“Polis sudah ambil keterangan daripada pengasuh terbabit dan hasil siasatan akan dimajukan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana kecuaian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Awal bulan ini di Johor Bahru, seorang bayi tiga bulan, Muhammad Zafran Anaqi patah kaki dan tangan kirinya akibat didera pengasuh.

Source

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...