Nuffnang Top

Wednesday, November 28, 2012

Wang kertas RM10 baru sudah ada yang palsu


BUKIT JALIL – Seorang peniaga warung terkejut menerima tiga keping wang kertas baru RM10 palsu dan mendakwa hanya menyedarinya apabila wang itu gagal didepositkan ke dalam sebuah mesin deposit bank, di sini, kelmarin.

Dia hairan bagaimana wang baru berkenaan boleh dipalsukan sehingga nampak seakan-akan wang tulen dikeluarkan Bank Negara.

Zuriah Yaacob, 43, berkata, tanpa menyedari bakal berdepan kerugian dia membawa wang hasil jualan perniagaan makanannya itu ke sebuah bank untuk dimasukkan ke dalam akaun, petang kelmarin.

Katanya, wang itu kemudian dimasukkan ke dalam mesin deposit namun dia pelik apabila tiga keping not RM10 dimasukkan bersama beberapa keping  wang kertas lain tidak diterima.

Zuriah berkata, musykil dengan perkara itu, dia kemudian menunjukkan wang kertas berkenaan kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di dalam bank.

Katanya, dia terkejut apabila diberitahu tiga keping wang itu palsu dan apabila diamati, dia menyedari bahawa wang kertas baru itu sebenarnya menggunakan cetakan biasa.

“Memang saya tidak menyedari wang itu palsu kerana ketika anak menerimanya daripada pelanggan ia nampak seperti wang biasa.

"Dengan keadaan yang kelam kabut warung penuh dengan pelanggan, memang tidak sedar wang itu bukan tulen.

“Rasa hairan sangat bagaimana wang baru boleh dicetak palsu. Selepas mengamati wang itu barulah saya perasan dakwatnya cair apabila terkena air malah benang keselamatan putus-putus itu juga sudah tertanggal,” katanya.

Dakwa Zuriah, kerajaan harus memantau perkara itu kerana ia boleh menjejaskan pendapatan peniaga kecil sepertinya apabila menerima wang yang tidak boleh digunakan
kembali.

Katanya, peniaga kecil-kecilan sepertinya juga tidak mempunyai mesin pengimbas wang kertas untuk pastikan wang diterima adalah tulen.

“Saya minta peniaga lain berhati-hati apabila menerima wang daripada pelanggan supaya tidak tertipu dan mengalami kerugian.

"Wang palsu diterima ini akan dijadikan kenangan dan pengajaran supaya sentiasa memeriksa duit daripada pelanggan,” katanya.

Source

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...