Nuffnang Top

Wednesday, October 10, 2012

Pemuda yang disalah sangka peragut dibelasah telah meninggal dunia!



SUNGAI PETANI 8 Okt. - Hanya kerana disangka terlibat dalam kes ragut, seorang pemuda teruk dibelasah dan menemui ajal selepas hampir seminggu bertarung nyawa di hospital.

Pemuda malang itu, Ku Ameerul Arshad Ku Salim diserang menggunakan objek tumpul oleh sekumpulan lelaki di rumah rakannya di Lorong 53, Taman Ria di sini pada 2 Oktober lalu.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi semasa mangsa berjumpa rakannya di sebuah rumah.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini pukul 9.40 pagi ini.

Bapanya, Ku Salim Ku Long, 58, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu dikatakan keluar dari rumah awal malam untuk berjumpa rakannya.

"Semasa berada di rumah itu, dia bersama lima lagi rakan yang dikatakan sedang berehat ketika didatangi sekumpulan 20 lelaki.

"Kumpulan itu terus memecah pintu masuk dan memukul anak saya serta rakannya," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HSAH di sini.

Ku Salim berkata, dalam keadaan kelam-kabut itu, anaknya sempat melarikan diri tetapi terjatuh ke dalam longkang.

"Selepas terjatuh, anak saya tidak terdaya bangun dan kumpulan lelaki yang mengejarnya bertindak menariknya keluar dan membelasahnya sehingga cedera parah," katanya.

Peniaga itu berkata, mangsa dihantar ke hospital selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai dan koma hampir seminggu di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Dia yang mengalami cedera parah pada bahagian otak bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.40 pagi ini," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, lapan lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya, empat daripada mereka ditahan sehari selepas kejadian manakala empat lagi ditahan di sekitar bandar pagi ini.

"Sebelum ini, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun, berikutan kematian mangsa, kes ini diklasifikasikan sebagai membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"

Source

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...